Selamat Datang ke Portal OSC 3.0. Kini, permohonan OSC sepanjang masa dengan OSC Online.
SOALAN LAZIM (FAQ)
Topik Soalan Lazim : Pengisian Borang | Prosedur Kerja OSC | Perjawatan | CCC | OSC Online | Manual Pengguna |
from = 1 to = 5
 
    Muka Surat  1 2 3 4 5 Next Page Next Group
      Paparan 1-5 daripada 77 Rekod.


CCC : PERIHAL CCC
1.
Apakah kesan atau implikasi yang akan berlaku sekiranya PSP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan setelah CCC dikeluarkan?
 
Di bawah sistem sedia ada, CFO dikeluarkan oleh PBT berbanding di bawah sistem baru di mana CCC dikeluarkan oleh PSP. Di bawah sistem sedia ada, tanggungjawab bagi keselamatan bangunan sama ada semasa pembinaan mahupun selepas penyiapan sesebuah bangunan itu adalah diperuntukkan di bawah seksyen 71 Akta 133 (1974) yang, antara lainnya, termasuk orang yang mengemukakan pelan bangunan. Tanggungjawab ini kekal di bawah sistem baru ini.

Selain tanggungjawab sedia ada, bagi memastikan tanggungjawab yang berterusan oleh pihak-pihak yang terbabit, konsep baru ini juga memperkenalkan satu proses penambaikan ke atas kawalan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam pembinaan iaitu proses 'Matrix of Responsibility' (proses perakuan berperingkat). Di bawah konsep ini, setiap komponen pembinaan turut dipertanggungjawabkan ke atas pihak-pihak profesional, kontraktor dan kontraktor tred. Ini bermakna walaupun PSP bertanggungjawab kepada keseluruhan pembinaan, pihak lain juga bertanggungjawab dalam bidang masing-masing. Sebagai contoh, tanggungjawab untuk kerja struktur adalah dipikul bersama oleh pihak Jurutera dan Kontraktor yang melaksanakan kerja. PSP hanya akan mengeluarkan CCC setelah semua pengesahan pada setiap komponen pembinaan lengkap dan disempurnakan. Dalam hal ini, sekiranya Arkitek Profesional yang bertindak sebagai PSP telah meninggal dunia atau tidak boleh dikesan setelah CCC dikeluarkan, tanggungjawab Jurutera Profesional tetap kekal bagi struktur bangunan yang didirikan.

Kaedah 'check and balance' ini mampu meminimakan risiko atau implikasi sekiranya OMP meninggal dunia atau tidak dapat dikesan setelah CCC dikeluarkan.


2.
Adakah sistem baru ini akan menyebabkan kelewatan memandangkan terdapat berbagai proses perakuan berperingkat yang perlu dilengkapkan sebelum CCC dikeluarkan?
 
Proses mendapatkan pengesahan bagi setiap komponen pembinaan adalah dijalankan secara berperingkat selaras dengan penyiapan komponen pembinaan di tapak. Justeru itu, pengeluaran CCC adalah di bawah kawalan PSP. Sehubungan itu, tempoh pengeluaran CCC adalah lebih terjamin di bawah sistem ini memandangkan penglibatan PBT adalah pada tahap yang lebih minima dalam proses pengeluaran CCC berbanding CFO. Walau bagaimanapun, kawalan 'check and balance' PBT masih dikekalkan dan kuasa PBT bagi memastikan keselamatan bangunan yang dibina tidak terjejas di bawah sistem baru ini.

Di bawah sistem baru ini, PSP boleh mengeluarkan CCC serta merta setelah berpuas hati pembinaan telah mematuhi undang-undang serta syarat-syarat yang telah ditetapkan. Sementara itu, dalam sistem sedia ada, setelah berpuas hati dengan pembinaan, 'Orang Yang Mengemukakan' perlu pula mengemukakan permohonan kepada PBT untuk semakan dan pemeriksaan di tapak sebelum CFO boleh dikeluarkan.


3.
Di bawah sistem CCC kemungkinan akan terjadi conflict of interest kerana PSP yang menyelia kerja pembinaan merupakan juga pihak yang mengeluarkan CCC. Begitu juga dikatakan akan ada elemen pakatan di antara pihak pemaju dan PSP di dalam sesuatu pemajuan kerana PSP adalah ejen yang dilantik oleh pemaju.
 
Sistem CCC membenarkan hanya pihak yang arif dan mempunyai kepakaran tentang sesuatu projek diberi kepercayaan untuk memperakukan keselamatan dan keselesaan bangunan yang dikeluarkan CCC. Dalam hal ini, PSP memang lebih memahami dan dapat mendalami sesuatu projek kerana kepakarannya serta penglibatannya di peringkat perancangan, pembinaan dan sehingga penyiapan projek.

Untuk menangani isu pakatan di antara pemaju dan PSP atau pihak lain yang terlibat dalam sesuatu pembinaan, satu peruntukan baru telah diadakan berhubung dengan kesalahan membuat atau menghasilkan atau menyebabkan dibuat apa-apa perisytiharan, perakuan, permohonan atau representasi palsu atau fraud apa-apa borang yang ditetapkan. Hukuman bagi kesalahan ini ialah denda tidak melebihi RM250,000.00 atau pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.


4.
Adakah PBT masih mempunyai duty of care bagi memastikan bangunan yang dibina selamat dan sesuai diduduki?
 
PBT masih mempunyai 'duty of care' di bawah 'common law' bagi memastikan bangunan yang dibina selamat dan sesuai diduduki.

Di bawah sistem baru ini, PBT masih mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam proses pengeluaran CCC seperti mana diperuntukkan di bawah subseksyen baru 70 (23) dan (24) Akta 133. Di bawah subseksyen baru 70 (23) Akta 133, PBT diberi kuasa bagi mengeluarkan notis bertulis kepada PSP dan SP supaya memperbetulkan ketidakpatuhan yang berlaku selain diberi kuasa mengeluarkan arahan bertulis kepada PSP untuk menahan pengeluaran CCC sehingga ketidapatuhan diperbetulkan. Manakala di bawah subseksyen baru 70 (24) Akta 133, PBT boleh menyebabkan apa-apa kerja dilaksanakan atau apa-apa langkah diambil bagi tujuan memperbetulkan ketidakpatuhan berlaku.

Selain itu, PBT mempunyai kuasa di bawah seksyen 85A Akta 133 bagi mengarahkan pemeriksaan bangunan secara berkala dijalankan oleh pemunya sesuatu bangunan selepas 10 tahun dari tarikh pengeluaran CCC bagi bangunan tersebut.


5.
Bolehkah tindakan sivil diambil terhadap PBT?
 
Pihak yang terkilan adalah tidak terhalang daripada mengambil apa-apa tindakan sivil terhadap PBT. Walaupun undang-undang memperuntukkan imuniti kepada PBT melalui seksyen 95(2) Akta 133, penghakiman mahkamah pernah meluluskan bahawa di bawah 'common law' PBT mempunyai kewajipan berjaga-jaga (duty of care) terhadap pihak ketiga. Sehubungan itu, pihak yang terkilan masih boleh mengambil tindakan sivil terhadap PBT.

 
    Muka Surat  1 2 3 4 5 Next Page Next Group
      Paparan 1-5 daripada 77 Rekod.


Jumlah Soalan Lazim untuk topik ini : 77

* * * Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox atau Google Chrome serta resolusi melebihi 1024 x 768 pixel * * *
Terbit sejak 25 Okt. 2007 - Kemas kini pada 26 Mac 2014 : Rekabentuk & Hakcipta Terpelihara © Bahagian ICT/JKT/KPKT